Profile

 profile image

Student

  • 0 reviews
  • 0 completed
Content 
Instructor 
Provider 
Assalamualikum dan Salam Sejahtera. Saya, Nur Adila binti Ismail (CIB160104), pelajar dari Universiti Malaya, mengambil kursus Hubungan Etnik di bawah kelolaan Dr Muhammad Shamshinor bin Abdul Azzis, Kumpulan 7 (Rabu,11 pagi -1 petang). Kami telah ditugaskan untuk menjawab 2 soalan, iaitu: 1) Nyatakan kisah pengalaman anda berkaitan detik-detik kebersatuan yang pernah dialami (saat yang menunjukkan integrasi). Oleh kerana saya tidak pernah bersekolah di sekolah yang mempunyai pelbagai etnik dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah dan dibesarkan dengan persekitaran melayu semenjak kecil lagi, saya tidak mempunyai ramai kawan daripada berlainan bangsa. Saya hanya mengenali kawan-kawan saya daripada bangsa lain, seperti India, Cina dan etnik-etnik lain dari Sabah dan Sarawak, hanya ketika saya memasuki universiti. Jadi, ia satu pengalaman yang baru bagi saya untuk berkawan dengan mereka. Detik kebersatuan yang saya alami sendiri adalah ketika kami menjalankan projek bersama. Perjumpaan dan perbincangan yang dilakukan membolehkan kami lebih rapat dan memahami antara satu sama lain. Percanggahan idea dan perbezaan pendapat yang berlaku langsung tidak menyebabkan sebarang perkelahian. Selain itu, walaupun berbeza agama dan mempunyai adat masing-masing, kami tetap peka dengan perkara ini. Contohnya, ketika pemilihan menu makanan, kami mengambil kira tentang pantang larang setiap agama. Selain itu, ketika proses menyiapkan tentatif program, mereka yang bukan muslim menunjukkan keprihatinan mereka dengan mengambil berat tentang waktu solat bagi muslim dengan menyusun waktu yang sesuai bagi setiap slot. Justeru, dapat disimpulkan disini, semangat integrasi dapat membantu mewujudkan perpaduan antara kaum dan mengelakkan berlakunya rasisme, hidup berkelompok, diskriminasi dan stereotaip antara satu kaum dengan kaum lain. 2) Berikan cadangan atau langkah untuk memperkukuhkan hubungan etnik di Malaysia, serta kekangan dan halangan daripada cadangan tersebut. a) Intraetnik: Pada pendapat saya, untuk mengukuhkan hubungan etnik dalam intraetnik, adalah dengan menubuhkan sebuah persatuan di setiap negeri di Malaysia, di mana persatuan tersebut perlulah mengadakan aktiviti-aktiviti yang pelbagai yang dapat mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Contohnya, untuk bangsa melayu, antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah mengadakan permainan tradisional melayu, aktiviti rewang, mempelajari cara menulis dan membaca tulisan jawi, persembahan dan sesi pembelajaran seni silat serta tarian melayu. Ini secara tidak langsung juga dapat memastikan budaya melayu tidak hilang dek zaman. Setiap persatuan juga boleh melakukan sekurang-kurangnya satu aktiviti tahunan yang sama, yang menggabungkan semua persatuan dari pelbagai negeri di satu tempat. Antara kekangan yang mungkin berlaku dalam usaha untuk menjalankan langkah ini adalah kekurangan dana untuk menampung perbelanjaan persatuan tersebut dan kurangnya penyertaan terutamanya dari para remaja kerana kurang berminat dengan aktiviti sebegini. b) Interetnik: Untuk mengukuhkan hubungan etnik dalam interetnik, pada pendapat saya, adalah dengan mewajibkan setiap institusi yang mempunyai pelbagai etnik untuk mengadakan majlis perayaan bagi setiap kaum di Malaysia yang terbuka kepada semua kaum. Ini membolehkan mereka lebih memahami agama dan adat resam setiap kaum. Antara kekangan yang mungkin berlaku adalah kemungkinan majlis tersebut tidak mendapat sambutan yang diharapkan.